Kalau sebut je pasal Ipoh, benda pertama yang terlintas dalam kepala mesti makanan. Dari Kopi Putih yang kaw, taugeh celur yang rangup, hinggalah ke Nasi Ganja yang sentiasa beratur panjang, memang tak susah nak habiskan separuh hari semata-mata buat food hunting. Itulah rutin wajib kami setiap kali turun ke ibu negeri Perak ni.
Tapi, lepas dah kenyang cari makan di Concubine Lane dan perut mula rasa 'food coma', badan automatik cari tempat nak bersandar. Nak sambung shopping rasa macam kaki dah tak larat. Dalam pada duk scroll telefon cari port lepak berdekatan, nama Taman Rekreasi Gunung Lang asyik naik dekat timeline.
Terus terang, pada mulanya saya tak letak harapan yang tinggi sebab saya dah pergi Tasik Cermin sememangnya pengalaman yang sangat best. Dalam fikiran, ia mungkin sekadar taman rekreasi biasa dengan jogging track dan taman permainan kanak-kanak. Tambah pula lokasinya sangat dekat dengan pusat bandar Ipoh, cuma lebih kurang 10 minit pemanduan je.
Tapi sebaik sahaja kami belok masuk ke kawasan taman, persepsi awal tu terus berubah.
Pengalaman Bermula Di Jeti
Benda pertama yang buat saya kagum bukanlah bukit batu kapur yang berdiri megah kat depan mata tu, tapi hakikat yang kita kena naik bot untuk masuk ke kawasan utama taman. Yes, anda tak salah baca. Kena rentas tasik!
Berapa banyak je taman rekreasi awam dalam bandar kat Malaysia ni yang perlukan kita naik bot? Memang rare. Dari segi logistik, kawasan letak kereta kat sini agak luas dan percuma. Kalau datang hari biasa memang senang nak dapat tapak kosong. Tapi kalau weekend atau cuti sekolah, kena banyakkan bersabar sebab kawasan ni memang jadi tumpuan warga tempatan. Saya sendiri tunggu nak dapat parking kereta je dekat 30 minit.
Terus bergerak ke kaunter tiket berhampiran jeti, harga yang ditawarkan untuk naik bot memang sangat mesra poket:
- Dewasa: RM3.00
- Kanak-kanak & Warga Emas: RM1.50
Satu tips penting untuk anda: Bawa wang tunai (cash) yang mencukupi. Walaupun sekarang zaman QR Pay, urusan di kaunter tiket dan beli makanan ikan lebih cepat dan lancar kalau ada wang tunai di tangan.
5 Minit Atas Bot Yang Paling 'Healing'
Selesai beli tiket dan pakai jaket keselamatan (keselamatan diutamakan ya!), kami pun melangkah masuk ke dalam bot. Bot ni beroperasi secara berterusan ulang-alik dari jeti, jadi masa menunggu tak adalah lama sangat.
Sebaik sahaja enjin bot mengaum dan mula membelah permukaan air tasik yang tenang, suasana bising jalan raya terus hilang. Yang tinggal cuma bunyi deruan air dan angin sepoi-sepoi bahasa yang menampar lembut ke muka. Perjalanan merentas tasik ni sekejap je, tak sampai 5 minit pun, tapi bagi saya inilah highlight utama Gunung Lang.
Kiri kanan anda akan dihidangkan dengan pemandangan bukit batu kapur gergasi yang menjadi identiti ikonik bandar Ipoh. Permukaan tasik yang berwarna hijau zamrud pula memantulkan bayangan bukit tu, sebiji macam lukisan landskap. Jangan lepaskan peluang untuk rakam video waktu ni. Walaupun sekejap, vibe dia tu rasa macam tengah bercuti kat Guilin, China atau Ha Long Bay!
Apa Yang Menarik Di Seberang Sana?
Sebaik bot merapat ke pulau di seberang, baru saya faham kenapa tempat ni sentiasa ada pengunjung tanpa putus. Kawasan tamannya jauh lebih luas, redup, dan sangat bersih. Ini antara aktiviti menarik yang anda boleh explore kat sini:
1. Pesta Ikan Berebut Makanan
Dekat kawasan tepi tasik berhampiran jeti, ada beratus-ratus ekor ikan pelbagai saiz. Anda boleh beli palet makanan ikan kat jeti sebelum bertolak tadi. Bila baling je segenggam palet dalam air, air yang tenang tu terus berkocak teruk sebab ikan-ikan ni berebut. Anak-anak kecil confirm melompat seronok tengok aksi dorang.
2. Malas Nak Jalan? Sewa Je Buggy!
Kawasan taman ni memang luas. Kalau larat, memang seronok jalan sambil menikmati pemandangan. Tapi macam saya yang dah penat seharian berjalan cari makanan kat Ipoh, bila nampak je servis buggy ni, ibarat nampak penyelamat! Anda boleh naik buggy pusing pusing pulau tanpa perlu berpeluh. Harganya pun berpatutan:
- Tiket Biasa: RM7 (Dewasa) | RM5 (Kanak-kanak)
- Tiket Kombo (Sekali Air Minuman): RM10 (Dewasa) | RM7 (Kanak-kanak)
Nasihat saya, ambil je pakej kombo tu. Dapat pusing pulau naik buggy sambil basahkan tekak, memang berbaloi dan puas hati.
3. Singgah Menara Tinjau & Rumah Tradisional
Kalau anda masih larat nak melangkah, jangan lupa singgah menara tinjau. Bila dah panjat tangga kayu sampai ke atas, pemandangannya memang memukau. Anda boleh nampak keseluruhan tasik dan bentuk muka bumi batu kapur tu dengan lebih jelas. Ada juga replika Rumah Tradisional Perak yang cantik untuk dijadikan latar belakang gambar OOTD gaya kampung.
4. Air Terjun Buatan
Kawasan ni sering jadi tumpuan pengunjung untuk lepak. Air terjun buatan ni mengalir deras dari celahan batu kapur yang tinggi. Bunyi air terjun tu buat suasana taman rasa lebih hidup dan damai. Cuma kena ingat, air terjun ni dikawal dan tak beroperasi sepanjang masa. Kalau kebetulan waktu anda pergi tu ia ditutup, jangan kecewa sebab banyak lagi port lawa untuk bergambar.
Info Terkini Dari Staff & Tips Penting
Sebelum merancang untuk ke sini, ada beberapa perkara persediaan dan info terkini (berdasarkan sembang santai saya dengan staff kat situ) yang anda wajib tahu:
- Mini Zoo & Tapak Perkhemahan DAH TUTUP: Kalau anda pernah baca blog-blog lama yang sebut pasal campsite dan taman haiwan, lupakan niat nak cari tempat tu. Staff kat situ sahkan yang tapak perkhemahan dah lama ditutup sejak zaman PKP lagi sebab kekangan nak maintain. Mini zoo pula terpaksa ditutup sepenuhnya sebab masalah gangguan monyet yang terlampau banyak.
- Awas Monyet Liar: Seperti yang staff tu luahkan tadi, memang banyak monyet liar (macaques) yang berkeliaran kat sini. Jadi, sentiasa berhati-hati! Jangan bawa makanan, keropok, atau air tin secara terbuka. Buat tak tahu je kalau terserempak, dan tolonglah jangan pandai-pandai acah nak hulur makanan pada dorang.
- Pilih Waktu Yang Tepat: Datang seawal jam 8.30 pagi atau lewat petang selepas asar. Waktu tengah hari memang panas terik membahang. Walaupun anda rancang nak pusing naik buggy, cuaca yang lebih sejuk tetap buatkan percutian tu lebih selesa.
Berbaloi Ke Habiskan Masa Kat Gunung Lang?
Kalau anda tanya saya, jawapannya adalah sangat berbaloi.
Kadang-kadang bila kita travel, kita terlalu fokus nak habiskan sebanyak mungkin tempat pelancongan dalam satu itinerary sampai lupa nak berehat. Percutian dah bertukar jadi macam perlumbaan lari. Tapi kat Gunung Lang ni, suasananya memaksa kita untuk perlahankan rentak.
Beli tiket murah, naik bot merentas tasik, sewa buggy layan angin, dan duduk rehat sambil tengok bukit batu kapur. Dalam sejam dua meluangkan masa kat sini, badan yang penat lepas berjalan jauh terus rasa segar balik sebelum bersedia untuk redah kesesakan di jalan raya semula.
Jadi, kalau anda tengah rancang roadtrip ke Ipoh tak lama lagi, pastikan nama Taman Rekreasi Gunung Lang ni ada dalam senarai wajib singgah anda. Percayalah, tempat ni memang ada ketenangannya yang tersendiri.



