Masuk 'Jurassic Park' Kuantan: Dinosaur Encounter Zoo Teruntum

Penulis

Ditulis Oleh Durian Lokal

Pada Khamis, Julai 16, 2026 Mengira masa...

Kami menggabungkan minat terhadap durian dengan pengembaraan untuk membawa anda menjelajah destinasi ke serata Malaysia dan dunia. Ikuti perjalanan kami untuk menemui pengalaman kembara Durian Lokal.

Isi Kandungan 📖

    Dinosaur Encounter Zoo Teruntum

    Kalau datang ke Kuantan, tak lengkap rasanya kalau tak ke Teluk Cempedak. Tapi kali ni, saya nak ubah angin sikit. Dari kecik memang saya membesar layan filem Jurassic Park, jadi bila dengar cerita kat Taman Teruntum ni ada taman dinosaur, terus pasang niat nak pergi tengok sendiri depan mata.

    Dulu tempat ni sekadar zoo mini biasa. Tapi sejak mereka buka tarikan baru iaitu Dinosaur Encounter, tempat ni terus jadi sebutan ramai.

    Jangan Keliru, Ini Dua Benda Berbeza

    Perkara pertama yang anda wajib tahu sebelum jejak kaki ke sini, kawasan Taman Teruntum ni terbahagi kepada dua zon.

    Zon pertama ialah kawasan Mini Zoo asal. Yang ini masuk percuma sahaja. Anda boleh jalan santai tengok haiwan-haiwan biasa macam kura-kura gergasi, burung unta, lembu, dan pelbagai jenis burung. Laluan kat sini redup sebab banyak pokok besar, memang sesuai sangat untuk ambil angin pagi.

    Zon kedua pula ialah kawasan Dinosaur Encounter. Zon ni berpagar tertutup dan perlukan tiket berasingan. Nampak je kepala T-Rex menjenguk dari luar pagar, kaki saya terus laju je melangkah pergi beli tiket.

    Pengalaman Masuk 'Jurassic Park' Kuantan
    Pengalaman Masuk 'Jurassic Park' Kuantan

    Untuk warganegara Malaysia, harga tiket dewasa di Klook cuma RM28.75 (kadang-kadang ada promo boleh dapat RM26.79 je). Bagi kanak-kanak, warga emas dan OKU pula RM25.30 (promo RM23.65). Pelancong luar negara pula RM57.50 (dewasa) dan RM50.60 (kanak-kanak/warga emas).

    Jujur saya cakap, harga ni sangat berbaloi dengan pengalaman dan teknologi animatronik yang mereka bawakan. Lagipun, inilah masanya kita nak sapot tarikan pelancongan tempatan kita supaya mereka boleh terus tambah baik fasiliti dari masa ke semasa.

    Sebaik sahaja melangkah masuk, memang rasa teruja tu lain macam. Saiz replika dinosaur kat dalam ni besar-besar belaka dan yang paling penting, mereka bukan patung simen kaku!

    Kebanyakan dinosaur kat sini dipasang sistem animatronik boleh pusing kepala, kibas ekor, kelip mata dan siap ada bunyi mengaum lagi. Sambil berjalan solo dari satu sudut ke satu sudut, automatik memori zaman budak-budak tu datang balik. Memang layan habis tengok perincian setiap dinosaur yang dipamerkan. Rasa macam betul-betul masuk set penggambaran filem.

    Pesanan Penting Sebelum Datang

    Kalau anda rancang nak datang sini, tolong ambil perhatian beberapa perkara ni supaya jalan-jalan anda lebih lancar:

    • Waktu Operasi: Taman ni buka setiap hari dari Isnin sampai Ahad, bermula jam 10.00 pagi hingga 6.00 petang. Cuti umum pun dorang buka macam biasa. Nak senang waze je alamat ni: Jalan Padang Golf, 25050 Kuantan, Pahang.
    • Datang Awal Pagi: Kalau datang pada hujung minggu atau cuti sekolah, kawasan luar zoo ni agak padat. Nak selamat dan senang dapat kotak parking, datang ngam-ngam waktu dorang buka jam 10.00 pagi.

    Zoo Teruntum Kuantan Pahang

    Berbaloi Ke?

    Sangat berbaloi. Tarikan macam ni bukan sekadar untuk budak-budak je. Orang dewasa macam kita yang nak lepaskan gian memori masa kecil pun sangat dialu-alukan.

    Alang-alang dah sampai Kuantan, singgah sahaja sejam dua di sini. Puas bergambar dengan T-Rex, petang sikit barulah gerak ke Teluk Cempedak untuk lepak makan keropok lekor. Lokasinya pun dekat sangat, lebih kurang 10 minit pemanduan je dari pantai. 

    Penulis

    Ditulis Oleh Durian Lokal

    Pada Khamis, Julai 16, 2026 Mengira masa...

    Kami menggabungkan minat terhadap durian dengan pengembaraan untuk membawa anda menjelajah destinasi ke serata Malaysia dan dunia. Ikuti perjalanan kami untuk menemui pengalaman kembara Durian Lokal.

    Sertai komuniti rasmi Durian Lokal untuk promosi terkini, kod diskaun rahsia, dan tips percutian.

    Join Telegram
    Iklan
    Klook.com