Kellie’s Castle Ipoh: Tempat Cantik, Misteri dan Penuh Cerita Yang Ramai Tak Tahu

Penulis

Ditulis Oleh Durian Lokal

Pada Ahad, Julai 12, 2026 Mengira masa...

Kami menggabungkan minat terhadap durian dengan pengembaraan untuk membawa anda menjelajah destinasi ke serata Malaysia dan dunia. Ikuti perjalanan kami untuk menemui pengalaman kembara Durian Lokal.

Isi Kandungan 📖

    Pemandangan luar di Kellie’s Castle Ipoh

    Kalau anda dah beberapa kali datang Ipoh, mungkin nama Kellie’s Castle bukan benda baru. Tapi kalau belum pernah masuk sendiri, percayalah, tengok gambar dekat internet memang tak sama dengan rasa bila berdiri depan bangunan ini.

    Dari jauh, Kellie’s Castle nampak macam sebuah istana lama dari filem Inggeris. Dinding batu yang besar, tingkap kosong, lengkungan pintu dan bangunan yang tak pernah siap sepenuhnya. Dalam cuaca panas di Perak, tempat ni tetap ada vibe yang agak pelik. Cantik, tapi sunyi. Bersejarah, tapi dalam masa sama ada rasa misteri yang susah nak diterangkan.

    Walaupun orang selalu panggil Kellie’s Castle Ipoh, lokasi sebenarnya berada di Batu Gajah. Dari bandar Ipoh, perjalanan lebih kurang 30 hingga 40 minit bergantung pada trafik. Jadi, memang sesuai sangat dimasukkan sekali dalam itinerary kalau anda sedang bercuti di Ipoh atau Perak.

    Ia bukan sekadar tempat ambil gambar. Ada kisah keluarga, impian seorang lelaki Scotland, pekerja dari India, bangunan yang terbengkalai, ruang rahsia dan cerita-cerita seram yang sampai sekarang masih diperkatakan.

    Sejarah Ringkas Kellie’s Castle

    seni bina luaran di kellie's castle ipoh perak

    Kellie’s Castle dibina oleh William Kellie Smith, seorang peladang getah dari Scotland yang datang ke Tanah Melayu pada awal tahun 1900-an. Beliau memiliki ladang getah di kawasan Batu Gajah dan hidup dalam keadaan agak mewah pada zaman tersebut.
    Seni bina istana kellie's castle di bahagian luar

    Pada asalnya, beliau sudah mempunyai sebuah rumah kayu yang dikenali sebagai Kellie’s House. Namun, selepas keluarganya berkembang dan anak lelakinya dilahirkan, William Kellie Smith mula merancang untuk membina sebuah rumah agam yang jauh lebih besar.

    Pembinaan Kellie’s Castle bermula sekitar tahun 1915. Reka bentuk bangunan ini bukan biasa-biasa. Ia dirancang sebagai bangunan tiga tingkat, dengan bahagian menara yang menjadikan keseluruhan struktur kelihatan seperti mempunyai empat aras. Di dalam perancangan asal pula dikatakan ada sekitar 15 ruang termasuk bilik tetamu, ruang simpanan, wine cellar dan ruang untuk lif. 

    ruang lif pertama di malaysia di kellie's castle
    Ya, lif. Bayangkan pada zaman itu, di tengah kawasan ladang di Perak, sudah ada rancangan untuk membina lif dalam rumah persendirian. Sebab itulah ramai menganggap Kellie’s Castle sebagai projek yang sangat luar biasa bagi zamannya.

    Malangnya, William Kellie Smith meninggal dunia pada tahun 1926 ketika berada di Portugal. Selepas kematiannya, pembinaan istana ini dihentikan dan tidak pernah disambung semula. 

    Hari ini, bangunan yang tidak siap itulah yang menjadi tarikan. Kadang-kadang bangunan yang sempurna itu cantik, tapi bangunan yang ada cerita separuh siap macam Kellie’s Castle ini lebih mudah buat kita tertanya-tanya.

    Harga Tiket Kellie’s Castle Terkini

    pembelian tiket kellie's castle di kios

    Harga tiket Kellie’s Castle untuk warganegara Malaysia agak mesra poket, jadi memang sesuai untuk trip keluarga, rombongan sekolah atau jalan santai dengan kawan-kawan. Berdasarkan laman tiket rasmi, kadar kemasukan adalah seperti berikut:

    Kategori Pengunjung Harga Tiket
    Dewasa Malaysia RM9
    Kanak-kanak Malaysia, 4 hingga 12 tahun RM7
    Warga emas Malaysia, 60 tahun ke atas RM6
    Dewasa warga asing RM19
    Kanak-kanak warga asing, 4 hingga 12 tahun RM16
    Rombongan sekolah rendah, minimum 20 orang RM6 seorang
    Rombongan sekolah menengah, kolej atau universiti, min 20 orang   RM8 seorang

    Untuk yang mahu tambah lokasi lain dalam satu pembelian, ada juga pakej gabungan Kellie’s Castle dan Japanese Village Park, Ipoh. Harga pakej untuk dewasa Malaysia ialah RM13, kanak-kanak RM9 dan warga emas RM8. 

    Harga tiket boleh berubah ikut promosi, musim atau perubahan pengurusan. Jadi sebelum bertolak, lebih baik semak harga paling terkini melalui laman tiket rasmi Kellie’s Castle.

    Harga Parking Di Kellie’s Castle

    Bagi yang datang dengan kereta, parking biasanya dikenakan sekitar RM5 untuk sebuah kereta. Bayaran ini lazimnya dibuat ketika memasuki kawasan tarikan pelancongan tersebut, bersama urusan tiket masuk.

    Parkingnya memudahkan sebab anda tak perlu berjalan terlalu jauh untuk sampai ke pintu masuk. Cuma bila hujung minggu, cuti sekolah atau musim pelancongan, datanglah awal sedikit. Kadang-kadang kawasan parking cepat penuh, terutama bila banyak rombongan bas dan keluarga datang serentak.

    Bagi kami di Durianlokal harga parking RM5 ni terlalu mahal dan harap pihak berkenaan dapat mengurangkan kadar bayaran parking di masa akan datang. Dah lebih kurang harga masuk Kellie's Castle pulak harga parking dia.

    Waktu Operasi: Pagi, Petang atau Malam?

    Kellie’s Castle sekarang dibuka setiap hari dari 9.30 pagi hingga 10.00 malam, dengan kemasukan terakhir pada jam 9.30 malam. 

    Tapi kalau tanya pengalaman jalan-jalan, waktu paling selesa tetap pagi atau petang. Kawasan Kellie’s Castle banyak terbuka, jadi matahari tengah hari di Perak memang boleh buat cepat penat.

    Datang pagi, sekitar 9.30 hingga 11.30 pagi, kalau anda suka suasana lebih tenang dan mahu ambil gambar sebelum kawasan terlalu ramai. Cahaya pagi biasanya lebih lembut, terutama untuk gambar di bahagian luar bangunan dan halaman istana.

    Datang petang, sekitar 4.30 hingga 6.30 petang, pula sesuai untuk yang mahu cahaya lebih cantik dan kurang silau. Waktu ini sangat best untuk gambar di tangga, koridor dan tingkap besar. Kalau bernasib baik dapat cuaca mendung cerah, gambar memang boleh nampak macam scene dalam filem.

    Kalau datang waktu tengah hari, tetap boleh masuk. Cuma bawa air mineral, payung kecil, topi dan sunscreen. Jangan jadi hero sangat, nanti baru naik satu tingkat dah rasa nak cari air kelapa.

    Kalau nak rasa pengalaman masuk waktu malam pun boleh, cuma kami tak beranilah nak masuk waktu malam. Mungkin kalau anda sendiri nak rasa pengalaman ke sini waktu malam kenapa tidak kan?

    Ada Berapa Tingkat Kellie’s Castle?

    bahagian ruang tamu di kellie's castle ipoh
    Secara reka bentuk, Kellie’s Castle dirancang sebagai sebuah rumah agam tiga tingkat. Namun, bahagian menara atau struktur tinggi bangunan menjadikan sebahagiannya kelihatan seperti mempunyai empat aras. 

    Bila berjalan di dalam, anda akan naik turun beberapa tangga dan masuk ke ruang yang berlainan. Ada ruang yang lebih terbuka, ada bahagian sempit, ada juga sudut yang masih menampakkan dinding bata serta struktur asal pembinaan.

    Disebabkan bangunan ini tidak pernah siap, tak semua ruang kelihatan seperti rumah biasa. Ada yang kosong, ada yang dibiarkan dengan rupa asal dan ada ruang yang buat kita bayangkan bagaimana agaknya istana ini kalau siap sepenuhnya suatu ketika dahulu.

    Spot Bergambar Paling Cantik

    Spot Bergambar Paling Cantik di kellie's castle
    Kalau datang tanpa ambil gambar, memang rasa rugi juga. Kellie’s Castle ialah antara lokasi yang kamera telefon biasa pun boleh buat gambar nampak menarik. Bangunan itu sendiri dah jadi props utama.

    Antara spot yang patut anda cari bila sampai di sini:

    • Pintu gerbang utama sesuai untuk gambar full body dengan latar belakang bangunan istana.
    • Tangga batu di bahagian dalam antara spot yang selalu nampak dramatik, terutama bila ambil dari sudut bawah.
    • Koridor dengan lengkungan pintu sesuai untuk gaya candid, berjalan perlahan atau gambar siluet.
    • Tingkap besar tanpa cermin cahaya masuk dari luar dan buat gambar nampak lebih natural.
    • Aras atas atau bahagian bumbung boleh nampak kawasan hijau dan ladang di sekeliling bangunan.
    • Dinding bata lama nampak cantik untuk gambar close-up, gambar pasangan atau video pendek.
    • Halaman luar istana paling sesuai untuk gambar keluarga atau kumpulan besar.

    Spot Bergambar Paling Cantik di kellie's castle
    Kalau nak rakam video Reels atau TikTok, cuba ambil shot berjalan masuk dari pintu utama, naik tangga perlahan-lahan atau berdiri di tepi tingkap. Tak perlu banyak sangat gaya pun. Tempat ini dah cukup kuat dari segi visual.

    Lokasi Pilihan Untuk Gambar Pre-Wedding

    Tak pelik kalau anda nampak pasangan berpakaian cantik datang ke Kellie’s Castle. Ada yang buat sesi pre-wedding, ada yang ambil gambar selepas nikah, ada juga yang jadikan tempat ini sebagai lokasi untuk potret pasangan.

    Sebabnya mudah. Elemen seni bina klasik, dinding lama, tangga besar dan lorong batu memang beri hasil gambar yang lebih timeless. Gambar di sini tak nampak terlalu biasa macam di kafe atau taman bandar.

    Spot Bergambar pre wedding Paling Cantik di kellie's castle
    Kalau anda bercadang nak buat photoshoot pre-wedding atau photoshoot profesional, sebaiknya hubungi pihak pengurusan lebih awal. Ada kemungkinan prosedur, caj atau syarat tertentu untuk penggunaan kamera profesional, kru produksi, pakaian khas atau sesi penggambaran yang mengambil masa lama.

    Untuk pasangan, warna pakaian seperti putih, krim, hitam, coklat, maroon atau hijau gelap biasanya memang masuk dengan tona bata dan dinding lama Kellie’s Castle. Tapi ini cuma idea, bukan peraturan. Yang penting, jangan pakai kasut yang susah naik tangga.

    Ruang Rahsia dan Terowong Yang Selalu Jadi Bualan

    Kellie’s Castle memang ada banyak ruang yang membuatkan pengunjung tertanya-tanya. Antaranya wine cellar, ruang lif, bilik-bilik yang belum disiapkan, koridor panjang dan bahagian bawah tanah yang selalu dikaitkan dengan kisah laluan tersembunyi. 

    Antara cerita yang paling popular ialah kewujudan terowong rahsia yang kononnya menghubungkan Kellie’s Castle dengan lokasi lain, termasuk kuil Hindu berdekatan atau kawasan ladang. Cerita ini sudah lama menjadi sebahagian daripada legenda tempatan.

    Namun begitu, lebih baik tulis dan faham bahagian ini sebagai cerita atau dakwaan popular, bukannya fakta muktamad. Memang ada struktur dan ruang bawah tanah yang boleh mencetuskan spekulasi, tetapi banyak cerita tentang terowong tersebut masih dalam misteri.

    Itulah seronoknya bila melawat tempat lama macam ini. Kadang-kadang bukan semua soalan perlu ada jawapan. Ada tempat yang lebih menarik bila masih ada sedikit rahsia tersimpan.

    Kisah Misteri Kellie’s Castle

    Kellie’s Castle sering disebut antara lokasi bersejarah yang mempunyai cerita mistik di Perak. Ada pengunjung mendakwa pernah rasa suasana sejuk tiba-tiba, terdengar bunyi langkah kaki di lorong, atau terlihat kelibat di kawasan tertentu.

    Antara kisah yang selalu diceritakan ialah kelibat William Kellie Smith yang dikatakan masih berada di salah satu koridor istana. Ada juga cerita yang mengaitkan kawasan ini dengan roh para pekerja pembinaan dari India.

    Menurut beberapa penceritaan popular, wabak penyakit pernah melanda kalangan pekerja semasa pembinaan dan menyebabkan ramai maut. Peristiwa tragis itulah yang kemudiannya menjadi pelbagai cerita seram di Kellie’s Castle.

    Namun, penting untuk bezakan antara sejarah yang didokumenkan dengan cerita lisan dan legenda. Pengalaman paranormal tidak boleh disahkan sebagai fakta. Bagi ramai pengunjung, unsur misteri ini lebih kepada satu lapisan tambahan yang menjadikan lawatan ke Kellie’s Castle terasa lebih mendebarkan.

    Kalau anda datang waktu siang, kebanyakan masa suasananya santai sahaja. Ramai keluarga, pelancong dan pelajar datang berjalan-jalan. Tapi bila kawasan mula sunyi, anda berada dalam lorong lama, dan teringat balik cerita tadi... itu lain cerita.

    Tips Melawat Kellie’s Castle Dengan Selesa

    Sebelum datang, ini antara benda kecil yang boleh buat trip anda lebih best:

    • Datang awal pagi atau lewat petang untuk kurang panas dan cahaya gambar lebih cantik.
    • Pakai kasut yang selesa kerana anda akan naik turun tangga serta berjalan di laluan berbatu.
    • Bawa air minuman, terutamanya jika datang dengan anak kecil atau warga emas.
    • Gunakan pakaian yang ringan dan sesuai untuk cuaca panas.
    • Pastikan telefon atau kamera cukup bateri kerana banyak spot menarik.
    • Jangan memanjat dinding, masuk kawasan larangan atau berdiri di bahagian berisiko semata-mata untuk gambar.
    • Semak dahulu harga tiket, waktu operasi dan sebarang syarat photoshoot sebelum datang.

    Kalau bawa anak-anak, bagi mereka peluang tengok sejarah dengan cara yang lebih menyeronokkan. Tanya mereka, “Agak-agak kenapa istana ni tak siap?” atau “Kalau kamu tinggal sini, bilik mana kamu pilih?” Kadang-kadang soalan mudah macam itu boleh buat lawatan lebih hidup.

    Susun Sekali Dengan Itinerary Ipoh

    Kellie’s Castle paling sesuai dijadikan aktiviti separuh hari. Lepas habis pusing istana, anda boleh sambung ke bandar Ipoh untuk makan, cari kopi atau singgah di tempat lain.

    Kalau anda baru pertama kali datang, baca dulu artikel Ipoh, sebuah bandar yang dahulunya dikenali sebagai “Bandar Jutawan”. Dari situ anda boleh nampak sendiri kenapa bandar ini ada karakter yang berbeza daripada bandar-bandar lain di Malaysia.

    Lepas itu, kalau jiwa suka barang lama, bundle dan benda vintage, jangan lupa masukkan Pasar Karat Ipoh (Loken) dalam senarai. Dari istana lama terus ke pasar karat, memang ngam untuk orang yang suka nostalgia.

    Nak cari kawasan yang lebih sibuk dan hidup? Anda boleh pergi ke Concubine Lane, tapi baca dulu sama ada tempat ini benar-benar berbaloi atau sebenarnya sekadar tourist trap.

    Kalau nak lepaskan penat dengan pemandangan alam, Tasik Cermin Ipoh memang sesuai. Suasana tasik dan bukit batu kapur di sana berbeza terus daripada vibe klasik di Kellie’s Castle.

    Untuk keluarga yang mahu aktiviti lebih banyak, anda juga boleh singgah ke Lost World of Tambun. Kalau nak terus susun trip yang lebih panjang, rujuk itinerary 3 Hari 2 Malam di Perak untuk idea perjalanan bersama keluarga.

    Berbaloi Ke Masuk Kellie’s Castle?

    pemandangan menara kellie's castle di ipoh
    Kalau anda suka tempat yang ada cerita, ya, memang berbaloi. Kellie’s Castle bukan tarikan moden yang penuh permainan atau aktiviti ekstrem. Ia lebih kepada pengalaman berjalan dalam ruang lama sambil membayangkan kehidupan pada zaman dahulu.

    Harga tiket pun masih berpatutan untuk pengalaman yang anda dapat. Anda boleh belajar sedikit sejarah, ambil gambar puas-puas, bawa keluarga dan dalam masa sama dapat rasa suasana unik yang tak banyak tempat lain boleh beri.

    Datanglah dengan fikiran terbuka. Jangan terlalu fokus nak cari hantu, jangan juga datang semata-mata nak ambil satu gambar lalu balik. Beri masa untuk berjalan, tengok struktur bangunan, masuk setiap ruang yang dibenarkan dan hayati cerita di sebalik dinding lama itu.

    Kellie’s Castle mungkin tidak pernah siap sebagai rumah impian William Kellie Smith. Tapi lebih 100 tahun kemudian, bangunan yang tidak siap inilah yang membuatkan ramai orang sanggup datang dari jauh untuk melihatnya sendiri.

    Penulis

    Ditulis Oleh Durian Lokal

    Pada Ahad, Julai 12, 2026 Mengira masa...

    Kami menggabungkan minat terhadap durian dengan pengembaraan untuk membawa anda menjelajah destinasi ke serata Malaysia dan dunia. Ikuti perjalanan kami untuk menemui pengalaman kembara Durian Lokal.

    Sertai komuniti rasmi Durian Lokal untuk promosi terkini, kod diskaun rahsia, dan tips percutian.

    Join Telegram
    Iklan
    Klook.com