Itinerari Sabah 4 Hari 3 Malam: Kembara Kota Kinabalu Ke Kundasang

Penulis

Ditulis Oleh Durian Lokal

Pada Ahad, Julai 19, 2026 Mengira masa...

Kami menggabungkan minat terhadap durian dengan pengembaraan untuk membawa anda menjelajah destinasi ke serata Malaysia dan dunia. Ikuti perjalanan kami untuk menemui pengalaman kembara Durian Lokal.

Isi Kandungan 📖

    Pemandangan indah di puncak Gunung Kinabalu Sabah

    Bila sebut sahaja pasal percutian ke Sabah, laluan wajib yang terlintas dalam kepala pastinya dari Kota Kinabalu terus naik ke Kundasang. Saya sendiri sudah beberapa kali memandu di laluan ini. Jujur saya katakan, perancangan yang betul amat penting untuk memastikan percutian anda berjalan lancar dan tidak memenatkan.

    Bagi anda yang baru pertama kali mahu merasai pengalaman memandu ke kawasan tanah tinggi Kundasang, saya kongsikan itinerari 4 hari 3 malam yang ringkas tetapi padat. Jadual ini saya susun supaya anda ada masa untuk berehat, tetapi masih sempat menyinggah ke lokasi-lokasi ikonik.

    Hari 1: Mendarat di Kota Kinabalu dan Eksplorasi Bandar

    Sebaik sahaja anda mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (BKI), urusan pertama yang wajib diselesaikan ialah mengambil kereta sewa. Nasihat saya, tempah kereta sewa lebih awal secara dalam talian supaya tidak kelam-kabut nanti. Dari segi pemilihan kereta, jangan kedekut untuk sewa kereta yang mempunyai kapasiti enjin sekurang-kurangnya 1.3cc hingga 1.5cc. Anda perlukan kuasa enjin yang selesa untuk mendaki bukit ke Kundasang nanti.

    Pemandangan di Pasar Filipina (Filipino Market) di Kota Kinabalu Sabah

    Lepas selesai mendaftar masuk hotel di sekitar pusat bandar, luangkan masa petang anda di Pasar Filipina (Filipino Market). Ini memang 'lubuk' terbaik kalau anda nak cari mutiara asli dan pelbagai jenis cenderamata. Tepat di sebelah pasar ini pula letaknya Todak Waterfront.

    Menjelang malam, kawasan Todak Waterfront ini akan berubah menjadi sangat meriah dengan deretan gerai yang menjual makanan laut segar. Anda boleh pilih sendiri saiz ikan, ketam, atau udang galah. Harganya sangat berbaloi jika nak dibandingkan dengan harga di Semenanjung. Cuma satu pesanan saya: rajin-rajinlah bertanya harga dahulu sebelum menyuruh mereka memasak, sekurang-kurangnya anda tahu bajet anda.

    Hari 2: Perjalanan Mendaki Ke Kundasang

    Keesokan harinya, mulakan pemanduan seawal jam 8.00 pagi. Perjalanan dari Kota Kinabalu ke Kundasang mengambil masa lebih kurang dua jam, bergantung pada keadaan trafik. Jalan raya ke sana diselenggara dengan amat baik, namun laluannya agak berliku dan mendaki. Jika ada ahli keluarga yang mudah mabuk jalan, pakaikan minyak angin atau sediakan ubat tahan muntah lebih awal.

    Pekerja dan barangan jualan di Pasar Nabalu Kundasang Sabah

    Lokasi persinggahan pertama yang wajib anda singgah ialah Pekan Nabalu. Di sini terletaknya sebuah menara tinjau yang akan menyajikan anda pemandangan Gunung Kinabalu yang sangat menakjubkan pada waktu pagi. Alang-alang dah berhenti, beli sedikit buah-buahan tempatan dan snek di sini untuk dijadikan bekalan mengunyah di dalam kereta.

    Seterusnya, teruskan pemanduan ke Desa Dairy Farm. Harga masuk untuk orang Malasia yang ada MyKad adalah RM 5.00 untuk dewasa dan RM 4.00 kanak-kanak. Tapi kena ingat tiket tidak lagi dijual secara jumpa terus (walk-in) di kaunter! Anda wajib membeli tiket secara dalam talian melalui laman web rasmi mereka sebelum datang. Pemandangan lembu meragut rumput dengan latar belakang gunung di sini memang akan buat anda rasa macam berada di New Zealand.

    Menjelang lewat petang, daftar masuk ke inap desa (homestay) pilihan anda di sekitar Kundasang. Apabila malam berlabuh, suhu akan mula menjunam sejuk. Waktu inilah paling syok untuk keluar ke pekan Kundasang dan mencari sayap ayam madu bakar yang berasap-asap. Makan panas-panas dalam cuaca sejuk, memang nikmat!

    Hari 3: Teroka Alam Semula Jadi dan Kolam Air Panas

    Untuk hari ketiga, kita akan lebih dekat dengan alam semula jadi. Taman Kinabalu (Kinabalu Park), yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO. Kadar yuran pemuliharaan juga sangat berpatutan, iaitu RM10 untuk dewasa (MyKad) dan RM5 untuk kanak-kanak.

    Tak semestinya perlu mendaki gunung untuk masuk ke taman ini. Terdapat banyak laluan santai di taman botani yang menempatkan pelbagai spesies orkid liar dan tumbuhan periuk kera yang jarang kita jumpa. Udaranya sangat segar dan mendamaikan jiwa.

    Kolam air panas Poring Hot Spring di daerah Ranau

    Selepas waktu tengah hari, lajakkan pemanduan sejauh 40 kilometer lagi menuju ke Poring Hot Spring di daerah Ranau. Paling menarik, anda boleh menggunakan tiket Taman Kinabalu yang sama jika dilawati pada hari yang sama. Jimat kan? Anda boleh berehat sambil merendam kaki yang lenguh di dalam kolam air panas bersulfur semula jadi.

    Jika anda jenis yang sukakan sedikit cabaran gayat, cuba naik Canopy Walkway dengan bayaran tambahan sebanyak RM 5.00. Pengalaman berjalan di atas jambatan gantung pada ketinggian silara pokok hutan hujan tropika ini pasti buat jantung anda berdegup laju.

    Hari 4: Tamparuli, Beli-Belah Terakhir dan Pulang

    Jambatan Tamparuli di Sabah
    Hari terakhir, sudah tiba masanya untuk turun semula ke Kota Kinabalu. Dalam perjalanan menuruni bukit, singgah sebentar di Jambatan Tamparuli yang cukup popular menerusi lagu rakyat Sabah itu. Berjalan di atas jambatan gantung ini sambil merakam gambar adalah satu kemestian sebagai bukti anda sudah sampai ke sini.

    Sebaik sahaja tiba di bandar Kota Kinabalu, gunakan baki masa yang ada sebelum ke lapangan terbang untuk singgah di Pasar Ikan Masin (berdekatan Pasar Filipina). Di sinilah tempatnya untuk memborong buah tangan wajib seperti ikan bilis mata biru, amplang, dan kuih cincin. Peniaga di sini sangat profesional, mereka akan membungkus barangan anda dengan rapi di dalam kotak supaya mudah dibawa naik ke dalam kapal terbang.

    Pastikan anda bertolak ke lapangan terbang sekurang-kurangnya dua jam setengah sebelum waktu pelepasan penerbangan. Trafik di sekitar pusat bandar Kota Kinabalu boleh menjadi agak sesak pada lewat petang, terutamanya pada hari bekerja.

    Mugkin jika anda yang nak mendaki Gunung Kinabalu satu hari nanti bolehlah dapatkan Pekej Daki Gunung Kinabalu 2 Hari 1 Malam (Laluan Timpohon): Semua Benda Dah Diuruskan!  

    Tips Pengembara (Wajib Tahu)

    • Suhu Kundasang: Suhu pada waktu malam boleh menjunam sehingga 16 hingga 18 darjah Celsius. Jangan lupa untuk membawa jaket nipis atau baju sejuk, terutamanya jika anda bercuti membawa anak kecil atau warga emas.
    • Isi Minyak Penuh: Stesen minyak agak terhad apabila anda mula mendaki melepasi kawasan Tuaran. Pastikan tangki minyak kereta sewa anda diisi penuh sebelum memulakan pendakian bagi mengelakkan kebimbangan.
    • Jadual Yang Fleksibel: Cuaca di kawasan pergunungan agak sukar dijangka. Jika hujan turun dengan lebat, jalan raya akan menjadi licin dan jarak penglihatan mungkin berkurang akibat kabus tebal. Jangan gopoh mengejar jadual; pandu dengan tenang dan sentiasa utamakan keselamatan.

    Memang benar, percutian memandu ke Sabah ini menuntut tenaga fizikal yang agak banyak. Namun, perasaan puas yang anda dapat tatkala melihat keindahan Gunung Kinabalu tersergam megah di hadapan mata pasti membuatkan segala kepenatan itu hilang serta-merta. Selamat merancang percutian!

    Penulis

    Ditulis Oleh Durian Lokal

    Pada Ahad, Julai 19, 2026 Mengira masa...

    Kami menggabungkan minat terhadap durian dengan pengembaraan untuk membawa anda menjelajah destinasi ke serata Malaysia dan dunia. Ikuti perjalanan kami untuk menemui pengalaman kembara Durian Lokal.

    Sertai komuniti rasmi Durian Lokal untuk promosi terkini, kod diskaun rahsia, dan tips percutian.

    Join Telegram
    Iklan
    Klook.com